Tuesday 24 November 2015

Aku Tak Sendiri: 4

Hari ini Airis bercadang untuk keluar lebih awal ke sekolah. Penuh bersemangat dan ceria. Mak Sara juga riang melihatkan perubahan yang berlaku terhadap anak tunggalnya pada pagi tersebut. Nasi lemak yang siap ditanak, minta dibungkus comel-comel dengan beralaskan daun pisang oleh Airis. Dua bungkus nasi lemak telah pun  tersedia di atas meja. Secawan kopi ‘o’ sudah mekar aromanya di ruangan dapur, berpadu pula dengan  aroma dari daun pisang yang dilapik bawah timbunan nasi lemak dalam pinggan makan.
“Assalamualaikum, Bu..”
“Walaikumussalam, sayang. Awalnya pagi ni,” tegur Mak Sara sambil mengukir senyum.
“Azam baru,” pendek sahaja jawapan daripada Airis.
Dia meluru ke kabinet tua berwarna coklat di sisinya. Lantas sehelai plastik kecil berwarna merah dikeluarkan dari laci almari lama tersebut. Dua bungkus nasi lemak yang sedia menantikan kehadirannya dibawa memenuhi plastik tadi. Maka dengan itu, bungkusan tersebut pun segera dimasukkan ke dalam beg sekolahnya.
“Ai pergi dulu, Bu,” ucap Airis sambil menghulurkan salam ke arah Mak Sara yang sedang mengemas dapur.
“Tak minum dulu? Ibu dah hidangkan tu,” soal Mak Sara seraya berhenti menyapu. Salam anaknya disambut. Sebuah kucupan hinggap pada kedua belah pipinya.
Kasut bertali warna hitam segera disarung di kaki tangga. Kemudian, Airis tergesa-gesa pergi setelah mencapai basikal BMX merah yang sedikit kusam warnanya di tiang bawah rumah.
“Ai… Airis!” laung Mak Sara bilamana terpandangkan dompet duit Airis masih terdampar di atas meja makan.
“Aih! Lupa lagilah tu,” keluh Mak Sara ketika sampai di muka pintu.
Kedudukan alas kaki yang senget segera dibetulkan oleh Mak Sara. Dengan tangan kanan yang masih memegang penyapu gandum, dia menguis-nguis sepasang selipar supaya kembali tersusun rapi di muka pintu tersebut.
“Assalamualaikum, Bu,” Mak Sara ditegur dari belakang.
Berpalinglah si ibu tua. Bibirnya lantas melebarkan senyuman.
“Waalaikumussalam. Qalif...”
“Ibu apa khabar pagi ni?”
“Sihat. Baru nak ke sekolah?” soal Mak Sara.
“Ya. Teringat nak jenguk ibu sekejap, itu yang Qalif singgah ni. Lagipun masih awal lagi ni,” terang Qalif Adib dengan santunnya. Jam di pergelangan tangan sempat dikerling seketika.
“Oh yaa.. Ibu nak minta tolong sikit boleh?” soal Mak Bibah. Dia pasti, permintaannya mesti takkan dihampakan oleh Qalif seperti biasanya.
“Mengapa, Bu?” ujar Qalif sambil turun dari basikalnya. Ditupang kenderaan tunggangannya itu lalu menyongsong ke arah Mak Sara di pintu dapur.
“Wah sedapnya bau,” luah Qalif.
“Kamu dah sarap? Ibu ada masak nasi lemak pagi ni. Kalau belum, marilah makan dulu. Sempat lagi ni,” pelawa si ibu.
“Itulah. Bila bau nasi lemak ibu ni, buat perut Qalif terus terasa lapar. Sekejap berlagu keroncong dan sekejap berlagu ghazal,” balas Qalif sambil mendekati meja makan. Tudung saji mengkuang lantas disingkap. Ceria wajahnya bilamana semuanya telah pun sedia terhidang bersama secawan kopi ‘o’.
“Ada-adalah kamu ni Qalif.”
“Sebenarnya Qalif dah sarap roti bakar tadi. Tapi tak apalah, Qalif nak jamah juga sedikit,” sambungnya lagi.
Nasi dalam pinggan terus diluakkan sedikit. Sambal ayam Mak Sara yang selalu menjadi lauk kegemarannya lantas dicedok ke pinggan. Beriya sungguh dia makan. Kopi ‘o’ diteguk sebagai penutup.
“Sahaja ibu masak lebih tadi. Ibu tahu, kamu mesti singgah.”
 “Alhamdulillah. Murah rezeki saya pagi ni,” luah Qalif ketika bangkit dari duduknya. Pinggan makan serta cawan dibawa ke sinki untuk dicuci.
 “Oh ya... Ibu nak kirim dompet Airis pada kamu, boleh?” soal Mak Sara.
“Tertinggal lagi?”
Mak Sarah mengangguk. Faham maksud tersirat anak muda itu.
“Hurm... Dia nak cepat sangat tadi, langsung terlupa. Walhal, dompet ni ada aje atas meja makan tu,” jelas Mak Sara.
 “Boleh ker?” soal Mak Sara kembali.
“Ehh... Mestilah boleh, Bu. Untuk ibu, apa-apa sahaja pun boleh.”
“Hish! Kamu ni. Main-main pula dia.”
“Betul-betullah, Bu. Mana ada Qalif main-main.”
“Kalau ibu minta kamu jaga Airis jika ibu dah tak ada nanti. Boleh?” Mak Sara memaut pandang wajah jernih Qalif.
Tergamam Qalif dibuatnya.
“Kenapa ibu cakap macam ni?”
“Boleh ker Qalif,” Mak Sara menyoal kembali.
“Ibu kan ada. Qalif ada. Mak dan Abah pun ada. Kita jagalah anak dara kesayangan ibu tu sama-sama. Mika dan Idi pun boleh bantu.”
“Tapi Ibu lebih berharap pada kamu. Cakap kamu seorang sahaja yang dia mau dengar. Cakap orang lain langsung tak dihiraukannya.”
“Ibu..”
“Janji pada ibu yer, Qalif,” rayu Mak Sara.
Qalif menggangguk perlahan.
Wajah Mak Sara sedikit keruh.
“Qalif janji, Bu. Qalif akan jaga Ai, sebagaimana yang Qalif mampu,” ikrar Qalif pada Mak Sara.
Kelopak mata Mak Sara mula lembab.
 “Aih! Awal pula makcik tu ke sekolah hari ni. Luar biasa ni Bu,” ujar Qalif sambil cuba untuk mengubah topik. Dompet yang dihulur oleh Mak Sara terus dicapai lalu di simpan dalam kocek seluar.
“Entahlah. Ibu pun rasa pelik juga. Tapi tak apalah, mungkin langkah dia nak berubahlah tu.”
“Alhamdulillah...” sahut Qalif senyum.
Mak Sara juga turut sama tersenyum.
“Qalif pergi dulu, Bu,” izin diminta untuk pergi.
“Iyalah. Hati-hati ya,” pesan Mak Sara buat si bujang tampan yang rapi rambutnya tersisir ke tepi.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”

Apa agaknya plan Airis pagi ni?



Di perkarangan sekolah, Airis kelihatan lebih cergas dan ceria berbanding selalu. Dia terus naik ke tingkat atas, menuju ke kelasnya. Beg sekolah berwarna merah dan kelabu jenama UMBRO disangkut pada kerusi kayu miliknya. Bungkusan plastik berisi bekal tadi dikeluarkan dari perut beg. Satu bungkus nasi lemak di letakkan pada laci bawah meja tulis tersebut manakala sebungkus lagi dijinjit keluar dari kelas. Dia melangkah dengan pasti menuju ke tingkat paling atas.
Apabila tiba di hadapan kelas yang paling hujung pada aras tertinggi tersebut, matanya tertumpu pada papan tanda nama yang tertulis 5 Al Farabi pada bingkai pintu. Mekar senyumannya. Dengan penuh berhati-hati dia menoleh ke kiri dan kanan. Koridor tingkat berkenaan kelihatan masih lagi sunyi tanpa pelajar. Langkah diatur. Sebuah meja paling hadapan di sudut kanan kelas terus dituju.
Meja yang berbalut dengan kemasan alas meja berwarna kelabu dihampiri. Terdapat beberapa lukisan kejuruteraan bersaiz kecil tersimpan di bawah plastik lutsinar pembalutnya. Juga tertera nama pemilik meja berkenaan di situ.
Bungkusan nasi lemak daun pisang lantas diletakkan di tengah-tengah meja tersebut. Di samping itu, secebis nota turut dititipkan pada bawah plastik lutsinar berkenaan. Sebelum ada yang memerhati, Airis segera beredar sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Riang hatinya pada pagi itu. Dia menapak keluar dengan harapan agar tuan punya meja bisa berlembut hati dengannya. Seperti biasa, dia berlari menuruni anak-anak tangga untuk ke tempat lepaknya di tepi padang sekolah. Hatinya puas. Mudah-mudahan dia peroleh jawapan yang positif daripada si pemunya meja.
Setibanya di sekolah, Qalif segera mengunci basikalnya pada palang besi di tempat letak basikal yang telah dikhaskan buat para pelajar. Sambil memerhati kawasan sekeliling, dia memanjat anak tangga untuk ke kelasnya sebelum keluar untuk memulakan tugas harian seperti kebiasaanya.
Terkejut. Berkerut dahinya bilamana terpandangkan satu bungkusan di atas meja miliknya dari ambang pintu. Dia mengundur setapak ke belakang. Berpaling ke kiri dan kanan. Sunyi. Tiada sesiapa pun di situ. Kakinya di atur melangkah ke kelas bersebelahan. Kosong. Melangkah lagi menuju kelas yang berikutnya. Juga masih kosong. Tiada sesiapa pun yang ada di tingkat berkenaan. Sambil otaknya ligat berfikir, langkahnya diatur kembali ke kelas sendiri. Ketua pengawas yang agak disegani itu terpaku di hadapan meja sendiri. Bungkusan plastik yang terasa suam-suam lantas dicapai.
“Siapa punya ni?” soalnya perlahan.
“Takkanlah orang salah kelas? Salah meja?” dia lantas mengelilingi kelas dengan bungkusan nasi lemak di tangan.
Memang tiada siapa yang telah tiba melainkan dirinya seorang.
“Peliknya.”
Nasi lemak yang berbungkus kemas tadi diletakkan kembali di atas meja. Otaknya dijana lebih laju dari biasa. Tubuhnya dipalingkan memandang ke arah tingkap yang terbuka, menghala padang sekolah.
Berfikir. Seketika, dia menoleh ke arah bungkusan nasi lemak tadi.
“Siapa yang bagi agaknya,” luah Qalif perlahan. Melontar pandangan ke sekitar padang sekolah sambil berpeluk tubuh.
Tanpa disangka-sangka matanya berhenti pada sesusuk tubuh yang duduk pada bangku batu di tepi padang. Sendirian termenung gayanya.
“Airis?”
“Tak mungkin. Ibu pun masak nasi lemak, takkanlah makcik tu beli nasi lemak pula. Tak logik.”
Lagipun kelas Airis adalah di blok paling belakang. Mustahil Airis punya kerja. Itulah yang terlintas di fikiran Qalif.
“Hoi! Pagi-pagi lagi YB dah termenung ni. Memikirkan hal negara ker?” Qalif disapa oleh sahabat sekelasnya.
“Engkau ni tak sudah-sudahlah, Raz. Ada saja usaha nak mengenakan aku. Dahlah salam pun tak bagi,” balas Qalif.
“Opps... Assalamualaikum, wahai Yang Berhormat...” ujar Razman menyeringai.
“Waalaikumussalam.”
“Wah! Wah! Ini sudah bagus. YB bawa bekal hari ni,” tegur Razman lagi.
“Entah-entah kau yang punya kerja ni. Letak nasi lemak atas meja aku dan lepas tu pura-pura baru sampai. Ini semua kerja kau kan Raz? Usahlah kau nak kenakan aku,” perangkap Qalif sambil menunding telunjuk ke arah sahabatnya itu.
“Ehh... Bila masa pula? Aku baru jer sampai ni hah. Beg pun belum letak lagi. Nampak,” bidas Razman membela dirinya.
“Assalamualaikummmm...” panjang intonasi ucapan salam yang dilontarkan oleh Azman yang baru menjenguk ke kelas.
Maka dengan itu, Qalif dan Razman pun segera berpaling sambil menjawab salam.
“Hah… Aku tahu... Aku tahu... Ini mesti Pendek punya kerja ni YB,” ujar Razman kepada Qalif. Keningnya terangkat-angkat. Siap dengan memek muka untuk menyakinkan sahabatnya yang sering digelar dengan panggilan YB itu.
Manakala Azman pula ternganga di ambang pintu. Tumpul otaknya nak berfikir. Masuk-masuk jer, dah kena tuduh. Apa hujung dan pangkal ceritanya pun dia tak tahu.
“Masuklah... Yang kau tercegat macam patung cendana depan muka pintu tu, kenapa?”
“Sini kau, YB nak jumpa ni. Urusan seri paduka baginda,” tambah si Razman lagi.
“Aku nak masuklah ni. Tapi apa halnya ni? Tetiba jer korang petik nama aku,” soal Azman yang sedikit katik berbanding dengan kedua-dua sahabat akrabnya itu.
“Ini, YB nakkan penjelasan daripada kau.”
“Penjelasan apanya pula ni?” Azman mula cuak. Mana taknya walaupun mereka sama-sama pengawas, tapi Qalif adalah ketua mereka.
“Ada kau letak bungkusan nasi lemak secara curi-curi atas meja YB?” soal Razman sambil menunding bungkusan nasi lemak yang masih terdampar di atas meja milik Qalif.
“Bila pula?” soal Azman kembali.
Qalif menepuk dahi. Nak ketawa pun ada bila tengok gelagat sahabat-sahabatnya itu. Dah macam polis pula si Razman menyoal siasat.
“Haish! Cukuplah tubuh kau saja yang pendek. Janganlah akal kau tu pun dipendekkan sekali. Dah sah-sahlah kami tujukan kepada nasi lemak yang tergonggok kat tengah-tengah meja YB ni hah. Boleh pula dia tanya kita bila,” sungut si Razman. Menggeleng-geleng kepalanya.
“Heheh... Janganlah marah. Otak aku ni, kalau sesubuh ‘sapiee’ cam ni memang lambat pick-up sikit."
"Ada sahaja alasan kau."
"Alahai... Hal berkenaan nasi lemak rupa-rupanya. Ingatkan hal kena samun ker. Tak pun kena copet ker tadi,” jelas Azman lagi.
“Kau jangan banyak cakaplah, Man. Kau ker yang letak nasi lemak ni?” soal Qalif.
“Bila pula? Daripada aku letak atas meja kau, baik aku yang makan. Dahlah aku tengah lapar ni. Kesiangan. Mak aku pula tak sempat nak buat sarapan subuh tadi,” jelas Azman.
“Iya tak iya juga eh,” balas si Qalif.
“Jadi, ini barang kes lah ni yer?” soal Azman nakal sambil menunding telunjuknya ke arah nasi lemak tersebut. Terteleng-teleng kepalanya memerhati nasi lemak tersebut.
“Ha... Lah...” garang pula jawapan si Razman.
“Alah, nasi lemak jer pun. Bukannya gajah ker. Jet pejuang ker. Kalau yang itu barulah masalah besar,” celah Azman lagi.
“Banyaklah kau punya besar,” tokok si Razman pula.
“Kau makan jerlah, YB. Entah-entah, ada secret admirer yang sengaja belikan untuk kau kot. Mana tau, dia nak pikat hati kau,” tambah Azman.
“Yerlah YB... Betul juga cakap si Pendek ni. Baik kau makan jerlah nasi lemak ni. Baunya pun macam sedap,” sokong si Razman.
“Kau nak? Kau kata kau lapar tadi,” tawar Qalif.
“Ehh... Kau lupa ker? Pendek kita ni mana makan nasi lemak. Diakan keturunan Mat Saleh. Makan beef steak saja,” usik Razman.
“Kau jangan nak macam-macam, Bulat. Aku siku kau karang. Pembetulan sikit yer. Memanglah aku ni cucu Mat Saleh. Bapa aku bernama Pak Nayan. Walaupun aku lahir dari keturunan Mat Saleh, tapi aku telan petai dan tempoyak tau. Kau ada?”
“Eei... Ehh... Aiman ler,” cecepat Razman mengalih topik. Telunjuknya menunding ke arah Airis yang masih duduk di tepi padang sekolah sebelum dia menjadi bahan umpatan kawan-kawannya pula.
Sekilas Qalif menoleh. Tajam jelingannya.
“Sesuka hati kau jer nak mengubah nama anak orang,” tegur Qalif sambil melirik jam di tangan. Dia berlalu pergi kemudiannya.
“Huh! YB marah tu,” usik Razman.
Azman hanya tersengih lalu kedua-duanya pantas meluru Qalif daripada arah belakang.
Hoi! Tunggulah. Menonong jer, laung Azman.
Qalif menghentikan langkahannya. Bia berpaling. Wajahnya kelihatan serius.
Seriusnya. Relakslah kawan. Hidup ni, kena ceria, pujuk Azman.
“Tapi tidaklah sentiasa ceria. Adakalanya kita kena serius juga, bidas Qalif tegas.
"Alahai.. Aku bergurau BFF jer. Tak kan itupun nak sentap, balas Razman.
“Selain mak bapa, kami inilah pelengkap hidup kau. BFF kau,” jelas Azman lagi.
"Kami?" soal Qalif kembali.
"Iyalah. Aku. Bulat. Dia,” balas si Azman.
"Seorang bernama Azman. Seorang bernama Razman. Dan yang seorang lagi  tentulah bernama Aiman,” sampuk Razman dalam pada cuba melawak.
“Tak cukup lawak. Malaslah nak layan korang. Aku dah lambat ni. Aku bertugas kat pagar depan hari ni. Nanti memetir pula Cikgu Rashidi  bila tengok tak ada orang yang bertugas kat sana sekarang.”
“Ohh... Aku bertugas dipagar belakang hari ni,” ujar Azman sambil membetulkan tali lehernya.
“Oklah, nanti kita jumpa. Aku pun nak pergi naikkan bendera kat tapak perhimpunan ni,” ujar Razman pula.
“Semalam hujan lebat ker? Lupa pula aku,” luah Qalif.
“Iyalah, sebab tu aku turunkan bendera tengahari semalam. Sekarang ni kan musim hujan,” balas Razman.
“Banyak makan semutlah ni. Sebab itulah cuaca semalam pun kau dah lupa,” celah Azman pula.
“Banyaklah kau punya semut,” sambung Qalif pula.
Ketiga-tiga mereka berpecah menuju ke destinasi masing-masing.

Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu untuk masuk kelas pun tiba.  Semua pelajar meremut beratur di koridor kelas masing-masing. Ahli Unit Pandang Dengar sekolah telah bersedia untuk menjalankan tugas mereka. Lagu kebangsaan, lagu negeri dan lagu sekolah bakal berkumandang satu persatu melalui corong-corong yang ada di setiap blok. Maka ketiga-tiganya dilagukan satu persatu oleh semua pelajar dengan penuh semangat. Apabila selasai menyanyikan lagu-lagu berkenaan, Qalif sebagai ketua pelajar akan memimpin semua pelajar untuk mengucapkan ikrar pelajar berserta Rukun Negara. Setelah masuk ke kelas, giliran wakil dari Jawatankuasa Persatuan Pelajar Islam yang bertugas pula memimpin semua pelajar islam memanjatkan doa.  Maka dengan itu, sesi persekolahan pun bermula.
Loceng berbunyi dua kali. Itu maknanya waktu rehat telah tiba. Qalif mengangkut bungkusan nasi lemak misterinya ke kantin sekolah. Di dalam perjalanan, dia terserempak dengan Julia. Manis senyuman yang dilemparkan oleh gadis itu. Gadis yang berjaya mencuri hati Qalif itu dikelilingi oleh teman-teman rapatnya yang sama-sama cantik dan comel.
Qalif menegur Julia serta sahabat-sahabatnya ketika mereka sedang asyik berbual sambil bergosip. Bungkusan nasi lemak yang dibimbitnya lantas dihulurkan buat Julia.
“Apa ni?” Julia buat-buat bertanya.
“Nasi lemak untuk awak?”
“Iya? Awak tak makan sama?”
“Tak apalah, saya dah makan kat rumah tadi. Masih kenyang lagi ni,” terang Qalif.
Bungkusan tersebut terus dibuka. Terlambaklah nasi lemak ayam yang kelihatan enak sekali. Ada sambal ayam. Ada belahan telur rebus dan juga timun. Juga ada kangkung dan kiub ubi kentang goreng di dalamnya. Sambalnya yang pedas-pedas manis bisa menaikkan lagi selera si pemakannya.
“Rasalah...” tegur Qalif.
Julia mengangguk. Sesudu nasi disuap ke mulut bersama sambal ayam. Selepas sesudu, sesudu lagi masuk ke mulutnya.
“Ermm... Sedaplah,” puji Julia.
Kembang kempis Qalis bilamana dipuji oleh buah hatinya itu.
“Lain kali bolehlah awak belanja saya lagi,” pinta Julia manja.
Qalif tak putus-putus menguntum senyum.
Dari jauh, Airis yang berseri-seri dengan semangat baru, bangkit dari duduknya. Memerhati dan terus memerhati akan gelagat Julia dan Qalif dari jauh.
Aih! Gediknya perempuan tu. Dahlah tu, pelahap betul. Macam tak pernah jumpa nasi lemak ayam pula. Aku tahulah yang nasi lemak mak aku tu memang hebat rasanya. Naik juling kau basuh selera yer, bebel Airis dalam hati sambil rasa tak puas hati terus bermekar di dalam hatinya.
Airis ingin beredar. Kakinya diangkat melangkahi kerusi kantin. Terkasima sahabat-sahabatnya yang lain bilamana terlihatkan bungkusan nasi lemak yang ditinggalkan di atas meja kantin.
“Ehh... Ai... Nak ke mana tu?” soal Zarra satu-satunya sahabat perempuan yang benar-benar ikhlas bersahabat dengan Airis. Yang lain-lain semuanya rapat dengan makna.
“Ai... Airis!” laung Zarra sambil bangkit.
Qalif menoleh apabila terdengarkan laungan nama Airis.
“Airis! Ni, nasi lemak kau ni,” terang Zarra lagi. Bungkusan nasi lemak tersebut disuakan kepada Airis. Namun, Airis tak menoleh langsung.
“Kau makanlah... Aku tak lapar,” laung Airis ketika meluru pergi.
Qalif seakan terpinga-pinga. Otaknya tiba-tiba jadi kosong.
“Kenapa? Kenapa?” soal Razman kepada Zarra.
“Entahlah, tadi bukan main lapar lagi si Airis tu. Tak menyempat-nyempat nak makan nasi lemak ni. Alih-alih, dia pergi macam tu aje. Nasi lemak ni langsung tak dijamah sedikit pun.”
“Hermm... Kes nasi lemaklah ni,” sampuk si Azman.
“Kes nasi lemak?” soal Zarra kepada Azman.
“Hurm… Nasi lemak misteri,” jelas Azman.
“Mengarutlah…” balas Zarra sinis.
"Ehh.. Iya.  Tak percaya?" soal Azman kembali.
Zarra mencebik ke arah Azman. Bungkusan nasi lemak yang ditinggalkan oleh Airis terus dibuka. Maka aromanya terus menerawang ke udara. Dah perutnya memang lapar pada ketika itu, memang rezekilah namanya.
Buntang mata si Azman. Sekejap dia memandang ke meja Zarra, sekejap lagi dia menjenguk pula ke meja sebelah yang diduduki oleh Julia serta rakan-rakannya termasuk Qalif.
“Bulat...” panggil Azman sambil menarik lengan Razman yang sedang memegang roti sosej.
“Hermm...” balas Razman yang berhajat untuk melabuh punggung di sebelah Qalif.
“Tunggu...” Razman ditegah duduk.
“Apa? Aku nak makan ni. Lapar.”
“Nasi lemak.”
“Roti sosej jer. Bila masa pula aku beli nasi lemak?” ujar Razman sambil mengunyah roti ditangannya.
“Haish! Sinilah”
Razman menurut.
“Kau tengok Zarra. Kau tengok Julia.”
Razman menurut betul-betul seperti yang diarahkan oleh Azman. Sekejap toleh kiri dan sekejap lagi menoleh ke kanan. Berulang kali.
“Bukan muka merekalah. Cuba tengok nasi lemak tu hah.”
Razman akur pada arahan sahabatnya itu.
“Hurm.. Nampak tak? Nampak? Apa yang sama?”
“Ermm.. Dua-dua tu nasi lemak ayam. Kenapa?”
“Cubalah kau tengok betul-betul.”
“Agak-agak kau, sama tak nasi tu?” soal Azman.
“Lebih kuranglah."
“Jangan main-mainlah. Cuba serius sikit,” tegur Azman geram.
Razman akur kepada arahan sahabatnya itu, kali ini.
"Ermm... Sama! Sangat sama!” terkedu Razman seketika. Matanya difokuskan lebih tepat ke arah kedua-dua bungkusan nasi lemak tersebut.
“Kau pasti?”
“Aku memang pasti.”
“Aih! Dah macam polis pula aku,” ujar Razman. Kedua-dua keningnya diangkat-angkat. Tersenyum.
“Seriuslah!”
“Iyalah. Aku seriuslah ni. Sama,” beriya-iya Razman mengesahkan.
Mereka berdua pun saling berpandangan. Menyeringai tersengih.
“Juuu... Mana hang beli nasi lemak ayam tu? Nampak sedaplah,” soal Razman ketika melabuh punggung di sisi Qalif.
“Qal beli...” ringkas jawapan Julia. Dia masih asyik menyuap nasi tersebut ke mulut.
Razman dan Azman serentak memaut pandang pada Qalif. Qalif hanya tersenyum.
Azman dan Razman saling berpandangan.
“Checkmate!” ujar Azman.
Kedua belah tangan Razman menunjukkan isyarat mengapa.
“Aiman tak kisahhhh,” ujar Azman lucu.
Berderai tawa mereka berdua.
“Dah korang berdua ni kenapa? Cepat sikit makan tu, nanti waktu rehat tamat, baru padan muka tu. berlaparlah sampai tengahari nanti.”
Qalif tiba-tiba bangkit.
“Kau pula nak ke mana tu?”
“Cari Airis sekejap. Aku lupa nak bagi dompet dia pagi tadi,” ujar Qalif separa berbisik. Tak mahu jawapan itu sampai pada pendengaran Julia.
“Hurm... Elok sangatlah tu. Kang berlapar pula dia,” balas Azman.
“Almaklumlah, bekalannya dah didermakan pada orang lain. Sama sebiji macam kau,” sambung si Razman.
“Korang ni kenapa tak habis-habis bercerita tentang topik nasi lemak sejak pagi tadi ni?” 
“Topic of the day is nasi lemak. What do you feel today when you received a nasi lemak from someone mistery?”
“Lawaklah korang ni,” ujar Qalif sebelum pergi.

Setelah hampir lima minit menunggu di tepi padang, Airis akhirnya muncul. Namun, gadis muda itu berpatah balik bila ternampakkan Qalif sedang duduk di bangku batu yang selalu menjadi tempat lepaknya. Bunyi ranting kayu dipijak membuatkan Qalif menoleh ke belakang. Airis yang kelihatan melangkah dengan berhati-hati langsung dipanggil.
“Ai! Tunggu,” Qalif bangkit mendapatkan Airis.
Namun Airis buat-buat tak dengar.
“Ai...”
“Airis!” tubuh kurus itu berjaya dipintas.
“Kenapa? Marah aku duduk tempat kau?”
Airis buat-buat tak dengar. Selamba sahaja mukanya. Malah wajah Qalif langsung tak dipandangnya.
“Aku cakap dengan kau ni, Ai. Jawablah. Tengok muka aku ni.”
“Ada nama aku kat situ ker?” balas Airis akhirnya bersuara. Matanya bulat merenung wajah lelaki di hadapannya. Tak berkedip.
“Memanglah tak ada. Tapi aku tahu, itu port lepak kegemaran kau. Yang engkau marah sangat kat aku ni kenapa?”
“Ada aku marah kau ke?”
“Habis, yang terjengket-jengket melangkah tadi tu bukan cubaan nak lari daripada aku?”
“Terpulang. Kalau itu yang kau rasa. Aku boleh buat apa?
“Apa ni, Ai?
“Apanya? Kau nak apa daripada aku? Aku ada hal ni. Anu nak cepat,” tegas Airis.
“Tak ada apa pun. Aku cuma nak bagi dompet ni hah. Tertinggalkan, pagi tadi?” lantas dompet yang dikeluarkan dari kocek seluarnya diserah pada Airis.
 “Pergilah makan. Nanti loceng bunyi pula,” pesan Qalif.
“Terima kasih.”
Maka dengan itu, dompet tersebut pun bertukar tangan.
 “Kau dah makan?” Airis tiba-tiba menyoal.
“Aku kenyang lagi, tadi dah sarap nasi lemak ayam kat rumah ibu.”
“Aku pergi dulu,” ujar Airis sambil teragak-agak untuk menguntum senyum.

Qalif memerhati Airis sehingga hilang disebalik bangunan tiga tingkat itu. Namun hatinya mula berbunga-bunga bilamana wajah redup Airis kelihatan kembali bercahaya. Tak lama kemudian, loceng pun berbunyi dua kali menandakan waktu rehat telah pun tamat.

Qalif mengemas meja tulisnya sementara menantikan guru bertugas masuk untuk mengajar. Buku teks matematik tambahan dikuit sedikit ke tepi. Bola matanya menangkap sesuatu di sebalik plastik lutsinar pembalut meja. Maka dengan itu, perlahan-lahan tangan kanannya dibawa melurut pada permukaan meja tersebut. Dengan penuh berhati-hati, dia memasukkan tangannya disebalik plastik lutsinar berkenaan bagi mengeluarkan secebis nota yang kelihatan masih baru tersisip di situ.

“Macammana aku boleh tak perasan ada nota bawah plastik pembalut meja aku ni?" perlahan Qalif menyoal dirinya sendiri.
Cebisan kertas biru, dibuka lipatannya.

Salam perkenalan. Moga2 Allah memberkatimu sentiasa. 
Mulakan pagimu dengan senyuman. Lewati hari-harimu dengan sejuta kenangan...


Perlahan-lahan ulas bibir itu mengukir senyum. Nota kecil yang bertulisan tangan tersebut terus ditatap. Cantik tulisannya. Mungkin setulus hati penulisnya.


No comments:

Post a Comment